08 Julai, 2011

PERKAHWINAN PALING BERKAT, paling murah belanja

Perkahwinan itu merupakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w..
Nabi (Muhammad s.a.w.) juga merupakan manusia yang mempunyai fitrah seperti setiap manusia yang lain. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan manusia pertama yang memasuki syurga, kerana Baginda s.a.w. adalah insan terbaik dan kata-kata Baginda s.a.w. adalah benar. Nabi s.a.w. telah banyak berpesan kepada umatnya untuk berkahwin, jadi, tidak mungkin (tujuan sebenar) perkahwinan itu membawa kepada kesan yang tidak baik, bahkan sebenarnya kebaikan yang dijanjikan, seperti mana firman Allah s.w.t. dan sabda Nabi s.a.w. yang telah dibincangkan tadi. Perkara yang jelas yang boleh diperoleh melalui perkahwinan ialah pahala mengikuti sunnah nabi s.a.w. dan pahala umpama mendirikan sebuah masjid. Malah lebih banyak ganjaran dan pahala yang boleh diperoleh sekiranya sesuatu perkahwinan itu diberi pengisian yang baik di dalamnya (berusaha membentuk keluarga yang sakinah).

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik maskahwin ialah yang mudah” 
(Riwayat Abu Daud)
Dalam hadis lain baginda bersabda: “Sebaik-baik wanita ialah yang memudah untuk diri maskahwin” 

(Riwayat at-Tabrani)

Rasulullah menyebut, wanita yang paling baik ialah bila maskahwinnya paling mudah (mudah bukan murah). Ya, mudah bagi lelaki untuk memberi maskahwin kepada isterinya.


Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk meyerahkan diriku kepadamu. Lalu Rasulullah s.a.w memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhati dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya. Apabila perempuan itu mendapati Rasulullah s.a.w diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang Sahabat dan berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya kahwinkanlah aku dengannya. Rasulullah s.a.w segera bertanya: Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan maskahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Baginda bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan maskahwin. Lantas Sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan maskahwin. Maka Rasulullah s.a.w berkata lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi. Lalu Sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata: Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya (Sahl berkata: Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan) maka aku berikannya kepada perempuan tersebut. Rasulullah s.a.w berkata: Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai. Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Rasulullah s.a.w memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila Sahabat tersebut sampai, Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang engkau miliki daripada al-Quran? Sahabat tersebut menjawab: Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya, Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Adakah engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Rasulullah berkata: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah al-Quran yang engkau hafaz.

Tiada ulasan: