20 Jun, 2012

INGAT BERINGAT .... dunia hanya sementara


Dari Ibnu Ibnu Umar r.a katanya: 

Rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu ia bersabda: Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara). Dan adalah Ibnu Umar r.a berkata:Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.
(HR : al-Bukhari)

1. Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitulah alam akhirat yang kekal abadi.

2. Untuk itu, tiap-tiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal belum tentu waktu itu akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.

3. Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya.

INGAT BERINGAT .... kelebihan berjemaah

Allah SWT telah berfirman :
A043


Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah Al-Baqarah 2:43)

INGAT BERINGAT .... 2 makna madu


Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia, kemudian makanlah dari tiap-tiap macam buah -buahan, dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan bagimu. dari perut lebah itu keluarlah madu yang bermacam-macam warnanya. Di dalamya terdapat ubat yang boleh mnyembuhkan bagi manusia. sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkannya. 
(surah al-Nahl ayat 65-69)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W, 
"Bahawa kesembuhan itu terdapat pada tiga hal, iaitu minum madu, bekam dan bakaran api (al-Khayy), Sesungguhnya aku melarang umatku melakukan al-Khayy (pembakaran dengan api)." 
(Sahih Bukhari)

Seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah mengadu tentang saudaranya yang sakit perut. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, dia hendaklah diberi minum madu. Namun, lelaki tersebut datang semula mengatakan penyakit saudaranya tidak juga sembuh. Nabi Muhammad s.a.w menyuruh saudara pemuda itu terus minum madu sehingga tiga kali. Jawab lelaki itu, saudaranya telah minum madu tetapi penyakitnya tidak juga sembuh, akhirnya Nabi s.a.w berkata ”Allah benar dan perut saudaramu itu berbohong”. Lalu Rasulullah s.a.w sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu dan dia akhirnya sembuh. 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

INGAT BERINGAT ... senantiasa dalam kesyukuran


"Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman, maka mengapa mereka tidak bersyukur?". 
(Yaasin: 73)

"Dan Allah mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), tetapi sedikit antara manusia yang bersyukur." 
(As-Sajadah: 9)

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih. 
(Ibrahim: 7)



Erti Syukur secara mudah ialah berterima kasih dan mengenang jasa. Orang yang tak bersyukur ialah orang yang lupa diri dan tak mengenang jasa.

Hadis Nu'man bin Basyir r.a., bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda "Sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak, sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala."

Bersyukur kepada manusia bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada manusia yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah SAW. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.

Cara bersyukur atau berterima kasih atas kurnia Allah ialah dengan jadikan diri kita orang yangbertaqwa, banyak beribadah serta selalu memuji Allah dengan lisan dan di dalam hati.

INGAT BERINGAT .... perbanyakkan sabar



Daripada Abu Hurairah RA katanya, 
“Telah bersabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebajikan baginya ditimpakan penderitaan ke atasnya.”
(HR : Bukhari)

Musibah yang ditimpakan ke atas orang yang beriman akan meningkatkan darjatnya di sisi Allah atau menghapuskan dosanya jika dihadapi dengan redha dan sabar.
Seseorang itu dikehendaki bersabar ketika menghadapi penderitaan yang menimpanya.
Setiap penderitaan itu akan diberikan ganjaran oleh Allah apabila dihadapi dengan kesabaran.

INGAT BERINGAT .... pesanan Imam Al-Ghazali



Dari Abdullah r.a katanya:

Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk. Jawab baginda,Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, Semoga anda mendapat pahala berganda pula. Jawab baginda:Semoga! Kemudian sabda baginda pula:Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.

(HR : Muslim )


Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." 
(HR : at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

INGAT BERINGAT ..... ramadhan menjelang



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.

( HR : Bukhari dan Muslim )

i) Puasa merupakan perkara ˜dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.

iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.

iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

INGAT BERINGAT .... doa keutamaan mukmin



Dari Ibnu Abbas RA katanya: 

Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.

( HR : Muslim )


Kedudukan sujud ialah dengan meletakkan kedua tangan, lutut, hujung kaki, dan dahi pada lantai. Ketika Allah meminta para malaikat bersujud kepada nabi Adam AS bererti inilah tingkat tertinggi dari sebuah penghormatan.

Sujud hanyalah untuk Allah S.W.T. Allah meminta malaikat sujud hormat, bukan sujud penyembahan dan mengajar kita bahawa tingkat paling tinggi dari rasa hormat adalah "Sujudlah pada Ku." Tidak ada penyembahan yang lebih baik daripada sujud. Itulah sebabnya mengapa umat Islam berbeza daripada umat agama lain. Mereka meletakkan dahinya atau kepalanya yang paling mulia ke tanah. Hal ini sekaligus membuang sifat angkuh seseorang dan menggantinya dengan berserah kepada Tuhan-Nya yang paling Agung. Inilah nilai kehambaan yang sebenar yang mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah.

INGAT BERINGAT .... usaha tangga kejayaan


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 

Sesungguhnya apabila Allah S.W.T. telah mengurniakan sesuatu nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka melihat kesan nikmat yang telah dikurniakan itu. Allah S.W.T. benci melihat orang yang menzahirkan kefakiran dan orang yang meminta-minta serta Allah S.W.T. mengasihi orang yang bersifat malu dan memelihara kehormatan.

(HR : Baihaqi)

i) Setiap manusia mempunyai berbagai-bagai nikmat kurniaan Allah S.W.T. sama ada berupa kesihatan, penglihatan, pendengaran, kekayaan, kebijaksanaan dan sebagainya. Oleh itu sebagai menunjukkan tanda kesyukuran tersebut, sewajarnya nikmat-nikmat itu dipergunanakan sebaiknya dengan melipatgandakan usaha ke arah kebaikan diri, agama, bangsa mahupun negara. Itulah kesan nikmat yang disukai oleh Allah pada hamba-hamba-Nya.

ii) Menzahirkan kefakiran dan bersikap suka meminta-minta adalah antara sifat orang yang kufur nikmat kerana ia tidak memanfaatkan nikmat yang sedia ada untuk berusaha dan berikhtiar mengubah nasibnya, bahkan cara ini sebenarnya menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai perasaan malu yang sekali gus merendahkan maruah dirinya sendiri.

iii) Malu adalah salah satu daripada cabang iman di mana pengertian malu mengikut syarak itu ialah perasaan yang mendesak seseorang itu supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala apa yang terpuji. Sumbernya adalah dari hati atau jiwa yang sedar tentang pengawasan Allah atas gerakgeri yang menyebabkan ia terpelihara zahir dan batin dari perbuatan dan unsur-unsur yang mengundang kemurkaan Allah.

iv) Malu adalah dipuji selama malu itu menjadi unsur pencegah dari kejahatan, pendorong jiwa untuk berbuat kebaikan serta malu itu pula tidak menyebabkan kehilangan maruah atau kehormatan peribadi.

v) Sementara malu yang dikeji pula ialah apabila malu berkata dan melakukan suatu perkara yang benar padahal tidak ada sebarang halangan untuknya berbuat demikian. Sifat ini hakikatnya bukanlah malu tetapi ˜pengecut' yang amat dicela oleh syarak.