27 Julai, 2011

PERIKSA AMALAN ... Bertemu ALLAH

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata: Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya."

(HR Ibnu Majah)

1. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka 
    menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika 
    kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-
    mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.
2. Sebaliknya riya' pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan 
    diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk 
    mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya 
    bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).
3. Perbuatan riya' (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi 
    satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang 
    melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu 
    ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin 
    diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, 
    mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan 
    yang seumpama dengannya.
4. Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. 
    Maka tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya 
    itu di sisi Allah S.W.T, sekalipun ia terpuji di mata manusia.

PERIKSA AMALAN ... Langit Ke-7


8. Riya’ (menunjuk-nunjuk)
  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.
Sifat manusia memang suka MENUNJUK-NUNJUK kepada orang lain.
Selalulah BERSYUKUR dengan apa yang kita ada, insyaAllah diri kita akan terpelihara daripada sifat tersebut.

PERIKSA AMALAN ... Langit Ke-6


7. Bakhil (kedekut)
  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala. 
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.
Sifat BAKHIL  tidak patut ada dalam diri kita.
Jadilah manusia yang PEMURAH.
InsyaAllah kita akan bahagia dunia dan akhirat.

PERIKSA AMALAN ... Langit Ke-5


6. Hasad (dengki)
  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
Jika diri anda pernah menaruh HASAD kepada orang lain, cuba ceritakan bagaimana perasaan anda ketika itu.
JOM !!! Cerita kat sini, kita boleh kongsi sama-sama.

PERIKSA AMALAN ... Langit Ke-4


5. ‘Ujub (bangga diri)
  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan. 
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
Adakah anda seorang yang HEBAT ?
JOM !!! Ceritakan kehebatan anda kepada kami.

PERIKSA AMALAN ... Langit Ke-3


4. Takabbur (sombong)
  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat. 
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.
Kongsi pengalaman anda ketika berhadapan manusia yang sombong.
Bagaimana perasaan anda ketika itu?
JOM !!! Ceritakan pengalaman anda.

PERIKSA AMALAN ... Langit Ke-2


3. Hubbud dunya (kasihkan dunia)
  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah. 
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.
DUNIA  +  AKHIRAT  = Kebahagian untuk dunia dan akhirat. 

PERIKSA AMALAN ... Langit Pertama


2. Syarrul kalam (banyak bercakap)
  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.
Tak perlu banyak bercakap, buat kerja yang lebih. 
Khuatir akan menjurus kepada mengumpat orang lain.
JOM !!! Kita kongsi pengalaman kalau kita pernah banyak cakap, adakah kita termengumpat orang lain.

sifat MAZMUMAH ... tertolak amalan


1. Syarrut ta‘am (banyak makan)
  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.
Bagaimana tabiat makan anda? 
Hanya anda seorang yang tahu. 
Nak kongsi pengalaman anda ketika makan !!! JOM, Kita ceritakan diam-diam supaya orang lain tak tau.