06 Jun, 2012

YANG HAK DAN BATIL ... pilihan diri sendiri

Di akhir zaman dimana informasi mudah didapati dari berbagai sumber, tak mustahil dalam masa yang sama fitnah semakin bercambah. Kita mungkin terkeliru dengan segala berita yang bersimpang-siur setiap hari di depan kita . 

Alternatif utama yang perlu dilakukan oleh seorang Mukmin sepatutnya bergantung harap & memohon dan menjadikan Allah sebagai sebagai tempat pergantungan yang utama. Antara kita ada yang "terlupa" untuk memohon & meminta kepada Allah sebaliknya lebih suka meminta & bergantung pada secondary sources yang mungkin irreliable.

Doa adalah senjata orang mukmin.

Tak kira kita dipihak yang menyokong atau menentang, mari kita kembali menjadi hamba-Nya, kembali memohon diberikan petunjuk & panduan. Kita lemah & jahil serba-serbi . 

"Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu."
(Surah al-Ghafir, ayat 60)

AMALAN BAIK .... tak kira masa dan ketika


Daripada Abu Dzar Jundub bin Janadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal RA, daripada Rasulullah SAW, telah bersabda, 
“Bertaqwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”
( HR at-Tirmizi )

Amalan kebajikan menghapuskan amalan kejahatan sebelumnya, jika kejahatan itu termasuk dosa kecil, dan tidak berkaitan dengan orang lain.

Antara akhlak mulia ialah manis muka, tidak mengganggu atau menyakiti orang lain, melakukan perkara maaruf dan berinteraksi dengan orang lain dengan cara yang kita mahu orang lain berinteraksi dengan kita.

Kita dikehendaki bertaqwa kepada Allah walau di mana kita berada.

Allah sentiasa mengawasi segala perbuatan hambanya secara terang atau secara tersembunyi.

Sesungguhnya amal kebajikan dapat menghapuskan kesalahan dengan syarat dosa itu tidak diulangi lagi.

Kita hendaklah berakhlak dengan akhlak Islam termasuklah mengenai hubungan sesama manusia.

UCAPAN YANG ELOK .... pewangi lidah


Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 
Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w.
( HR Muslim)

Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.

CINTAKAN DUNIA .... hidup mati


Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:

Hendaklah engkau jadikan dunia ini seolah-olah berdagang dinegeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan. Ibnu Umar r.a. berkata, Jika kamu berada diwaktu petang janganlah kamu tangguh diwaktu pagi dan jika kamu berada diwaktu pagi janganlah kamu tangguh diwaktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada didalam keadaan sihat, sebagai persediaan diwaktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati.
( HR al-Bukhari )

1. Umat Islam dikehendaki segera melakukan amal kebajikan semasa hidup didunia ini dan dunia umpama tempat berdagang untuk menuju ke satu destinasi lain (akhirat).
2. Islam menyuruh umatnya supaya melakukan ibadat dan amal-amal kebajikan dengan sebanyak-banyaknya di waktu muda dan ketika sihat sebagai bekalan hari tua dan bekalan akhirat.
3. Islam melarang umatnya yang suka menangguh-nangguh amalan kebajikan dan ibadat kerana sifat demikian merugikan diri seseorang.

Transit Venus, 6 Jun 2012

Fenomena Transit Zuhrah (Venus) iaitu planet Zuhrah bergerak merentasi Matahari yang telah terjadi pada 6 Jun 2012 bermula 6:09 am hingga 12:49 pm waktu Malaysia. Kami sempat mencerap dan merekod fenomena ini bermula 8:01 am hingga tamat walaupun ada beberapa ketika Matahari dilindugi awan. Fenomena ini dijangka akan terjadi kembali pada tahun 2117. Subhanallah!!

CARA BERSEDEKAH .... banyaknya


Dari Abu Dzar r.a katanya:
Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka. Jawab Rasulullah SAW:Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah. Mereka bertanya:Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami? Jawab Rasulullah SAW Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.
( HR al Bukhari )

1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.

KERNA 10 PERKARA ... hati menjadi gelap

Daripada Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr RA katanya: 

“Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung hati (niat) kamu.”
 
Memperbaikkan jantung hati dan niat diutamakan dan didahulukan daripada amalan anggota zahir, kerana niat itu mengesahkan amalan anggota. Berbuat sesuatu tanpa niat tiada nilainya di sisi Allah. Amalan-amalan zahir daripada seseorang biasanya mencerminkan keikhlasan dan ketaatannya kepada perintah Allah.

MUSIBAH .... pabila umat manusia lalai


DARIPADA Saidina Ali bin Abi Thalib ra Rasulullah saw bersabda:

Apabila umatku membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3. Zakat dijadikan hutang.
4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
5. Anak derhaka terhadap ibunya.
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
7. Anak suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara ditinggikan di dalam masjid.
9. Orang menjadi ketua bagi satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
13. Artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan diubah menjadi makhluk lain...

"Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri.

Oleh itu, kembali kepada yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.."

MENGHARAP YANG LEBIH BAIK .... semestinya



            Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
            Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
            Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.
            Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
            Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

INGAT MENGINGATI .... jalan terbaik


Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Ash’ari RA, daripada Nabi SAW sabdanya : “Sesungguhnya Allah Taala membentangkan tangan-Nya (sebagai kemurahan-Nya menerima taubat) pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang telah melakukan dosa pada waktu siang, dan membentangkan tangannya (kemurahannya untuk menerima taubat) pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat.”