Hari ini, ke mana sahaja melangkah pasti kita akan mendengar bicara tentang kemuliaan Ramadan; bulan yang diturunkan al-Qur'an padanya, bulan berlakunya peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam, bulan terbukanya pintu kebaikan dan kesejahteraan bagi mereka yang mencari keredaan Ilahi selain bulan tertutupnya pintu kejahatan bagi mereka yang takut akan kemurkaan-Nya. Bicara itu, biar sebanyak mana atau sekerap mana berulang tidak akan bermakna selagi kita tidak dapat merungkai persoalan; di manakah kita berada setiap kali Ramadan datang mengunjungi. Adakah kita sama sahaja saban tahun setiap kali Ramadan datang dan berlalu pergi?
Adakah kita sekadar berpuasa; menahan lapar dan dahaga, berbuka dan bersahur; semuanya hanya sebagai menepati piawai asas seorang Muslim? Atau lebih malang lagi, kita berpuasa semata-mata untuk berbuka dengan menikmati hidangan secara keterlaluan bagi memenuhi nafsu, membiarkan setiap detik Ramadan yang dilimpahi rahmat Ilahi berlalu begitu sahaja dan menjadi manusia yang kerugian kerana tidak memperoleh sebarang manfaat atau keberkatan meskipun diberikan peluang untuk berada dalam bulan yang amat istimewa ini. Berhubung dengan tabiat atau sikap menikmati hidangan berbuka secara berlebih-lebihan dan membazir, umum mengetahui bahawa ia amat dilarang dan bertentangan sama sekali dengan nilai kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam. Oleh yang demikian, amatlah memalukan bagi sesiapa sahaja yang tidak berasa bersalah jika sifat ini merupakan tabiat dirinya saban waktu berbuka atau juga bagi sesiapa yang menggalakkan amalan ini bahkan pula mengambil keuntungan atas amalan buruk ini.