PERISTIWA hijrah Rasulullah s.a.w perlu dijadikan ukuran buat diri individu Muslim kerana ia mempamerkan kesungguhan serta pengorbanan umat Islam di Makkah ketika itu yang sanggup berkorban nyawa, harta benda demi mencari keredaan Allah s.w.t.
Walaupun sejarahnya lebih 1,000 tahun, ia tetap dikenang sebagai lambang kejayaan umat Islam. Cukupkah kita hanya berbangga menggunakan nama Islam, dilahirkan dalam keluarga Islam namun hakikatnya tidak menjiwai watak sebagai seorang Islam tulen.
Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah. Tafsiran kepada sifat terpuji dan terkeji tidak hanya berkaitan mengenai perkara ibadat tetapi menilai sikap lain terutamanya hubungan sesama manusia dan masyarakat, gerak kerja seharian, budaya serta tingkah laku.
Hijrah merupakan satu titik perubahan baru dalam dakwah Islamiyah dan mengajar banyak perkara kepada umat Islam dan juga kepada peribadi rasulullah salallahualaihiwassalam. Kali ini tugas nubuwwah tidak lagi hanya berlangsung dan berselindung di rumah Al-Arqam bin Abil Arqam tetapi di kota-kota dan akan didengari ke seluruh pelusuk dunia.
Kota Madinah dipilih untuk mendapatkan kehormatan dan menjadi pusat penyebaran dakwah Islam tersebut.
Pengajaran pertama daripada Hijrah ialah Dakwah Islam itu harus berjalan menuju ke puncak dan ditinggikan oleh pengorbanan-pengorbanan manusia yang beriman kepada Allah swt sehingga suara agama dan seruan Allah untuk seluruh manusia beriman dan bertauhid kepada-Nya didengari oleh seluruh isi alam.Hijrah mengajar nabi bahawa Allah telah memprogamkan Islam untuk tidak membuang masa melayani kerenah kufar dan menanti sesuatu yang tidak pasti kerana “Masa” bagi seseorang manusia itu amatlah penting dan ianya perlu dilaburkan sepenuhnya ke jalan Allah swt dan melakukan apa yang lebih menguntungkan agama dan membawa kepada bekalan akhirat dari menanti sesuatu yang tidak pasti seperti menanti orang-orang yang kafir itu menjadi beriman.