10 Ogos, 2011

PUASA SUNAT ... satu galakan

Pengajaran Hadis :
1. Latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan. Sebab itulah orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa.


2. Ibadat puasa bukan sahaja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spiritual melalui sifat ikhlas.


3. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah SWT. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dan ikhlas dalam diri sendiri dan kepada Allah.


4. Di samping puasa wajib kita juga dianjurkan berjinak-jinak dengan puasa sunat lebih-lebih lagi puasa di bulan Rejab dan Syaaban yang banyak sekali kelebihannya di samping dapat membantu meningkatkan kekuatan dan persediaan dalaman sebelum tibanya puasa wajib di bulan Ramadhan.

HAKIKAT PUASA

Pengajaran Hadis :
i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain. 


ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.


iii) Di antara ibadat-ibadat yang harus dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan solat tarawikh, solat tahjud, solat taubat, membaca al-Quran, beriktikaf di dalam masjid, memperbanyakkan zikir, doa dan beristighfar, membanyakkan sedekah, menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah (bagi yang mampu). Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan. 


iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.

PUASA YANG BERKAT

Pengajaran Hadis :
i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia. 


ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari. 


iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:
a) Menundukkan pandangan mata serta 
    mengatasinya daripada tertuju kepada 
    segala yang tercela.
b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara 
    yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan 
    menyinggung perasaan orang lain.
c) Menahan pendengaran dari mendengar segala 
    sesuatu yang ditegah agama di mana perkara 
    yang haram diucap adalah juga haram didengar 
    seperti mengumpat dan sebagainya.
d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua 
    anggota badan daripada melakukan atau 
    mengambil perkara yang haram.


iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.


v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

SEDEKAH ...amalkannya

Pengajaran Hadis:
i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. 


ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa. 


iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu. 


iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.