23 Mei, 2012

KEMATIAN ... tetap datang ketika saatnya



MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 185 yang tafsirnya:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Setiap yang hidup pasti akan mati, tiada siapa pun yang dapat lari daripadanya. Mati bererti bercerai nyawa dari badan ataupun berpisahnya roh dari jasad. Inilah perpindahan pertama manusia dari alam dunia, seterusnya manusia akan berpindah pula ke alam barzakh (alam kubur) iaitu tempat roh-roh orang mati menunggu hari dibangkitkan semula di Padang Mahsyar.
Apabila sesebuah keluarga ditimpa kesusahan atau musibah seperti kematian, maka kita yang hidup ini perlulah bersimpati dan membantu meringankan beban kesusahan yang menimpa mereka. Agama Islam telah mengajarkan adab-adab yang sunat dilakukan apabila berlaku kematian, seperti mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dengan ucapan yang maksudnya: "Mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu."

Apabila keluarga si mati diberikan ucapan takziah maka adalah elok membalasnya dengan jawapan yang maksudnya: "Semoga Allah Taala akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

"Dari Abdullah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Siapa yang mengucapkan takziah (penyataan turut bersedih dan berdukacita) kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperolehi pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah."(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Apabila berlaku kematian setentunya ahli keluarga akan merasa sedih dan menangis. Keadaan seumpama ini setentunya tidak dapat dielakkan. Menangis kerana kehilangan orang yang dikasihi dan disayangi adalah diharuskan dalam Islam. Tetapi adalah menjadi kesalahan dan haram hukumnya jika menangis yang keterlaluan sehingga menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju sebagaimana perbuatan yang dilakukan orang zaman jahiliah. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang maksudnya:

"Dari Abdullah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah."(Riwayat Al-Imam Bukhari).

Ketahuilah bahawa menangisi mayat dan meratapinya dengan cara keterlaluan akan menyebabkan mayat tersebut terseksa, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Sesungguhnya mayat itu diseksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga ke atasnya."(Riwayat Al-Imam Bukhari).

Oleh itu apa yang sepatutnya dilakukan apabila ditimpa kesusahan atau musibah seperti kematian ialah bersabar menghadapinya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 156 - 157 tafsirnya:

"Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya. Dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya."

Pada kelazimannya, apabila ada kematian, majlis tahlil atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga berkenaan dengan menjemput sanak- saudara, jiran tetangga dan sahabat handai hadir ke rumah si mati bagi membacakan ayat-ayat Al-Quran seperti Surah Yaasiin dan bertahlil untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Dan seterusnya membaca doa, mendoakan si mati semoga Allah Subhanahu Wataala memberikannya rahmat dan keampunan serta memasukkannya ke dalam golongan orang-orang salih dan dimasukkan ke dalam Syurga. Setelah selesai berdoa para jemputan yang hadir akan menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah.

Menyentuh tentang majlis kenduri arwah ini, pada lazimnya mengadakan majlis tersebut dengan tujuan untuk memohonkan rahmat dan keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala bagi si mati. Selain itu ia boleh mengeratkan lagi hubungan persaudaraan (silaturrahim) di kalangan sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Jika majlis tersebut diadakan untuk tujuan demikian, maka mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah suatu perbuatan yang baik dan digalakkan oleh Islam. Tetapi perlu diingat, supaya tujuan kenduri tersebut selaras dengan kehendak agama, maka janganlah ia dianggap sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarga kerana perbuatan tersebut bukanlah perkara yang disyariatkan oleh agama Islam. Akan tetapi yang lebih elok dan sunat dilakukan ialah kaum kerabat dan jiran menghantar makanan kepada ahli si mati sebagai tanda simpati untuk meringankan beban yang mereka tanggung kerana ahli si mati ketika itu dalam keadaan sibuk menguruskan perkara-perkara si mati. Inilah perbuatan yang sebenarnya yang wajar dilakukan dan digalakkan oleh Islam. Perkara inilah yang disuruh oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila Baginda menerima berita kematian Ja'afar Ibnu Abi Talib, sebagaimana sabdanya yang maksudnya:

"Dari Abdullah ibnu Ja'afar katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Buatkanlah makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Ja'afar yang telah meninggal, kerana telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk disebabkan ditimpa kematian itu."(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Dari maksud hadis tersebut adalah jelas menunjukkan bahawa menyediakan makanan oleh jiran atau keluarga bagi orang yang ditimpa kesusahan seperti kematian adalah perbuatan yang terpuji kerana ia menandakan rasa simpati, kasih sayang yang mengeratkan silaturahim terhadap keluarga si mati.

Islam sangat menggalakkan orang yang masih hidup terutama kepada anak-anak dan keluarga terdekat yang lain supaya sentiasa membaca Al-Quran, berdoa dan berzikir dan menghadiahkan pahalanya kepada yang telah meninggal dunia. Pada hakikatnya pembacaan Al-Quran, bertahlil dan seumpamanya itu tidak hanya terhad kepada tujuh hari, empat puluh hari atau seratus hari sahaja. Bahkan amalan tersebut sepatutnya sentiasa diamalkan sepanjang masa supaya ibu bapa dan keluarga yang telah meninggal itu mendapat rahmat, ketenangan dan kebahagiaan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dari Abi Hurairah Radiallahuanhu yang bermaksud:

"Apabila seorang manusia itu mati, maka putuslah segala amal ibadatnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih yang mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapanya."

Bagi kita yang masih hidup ini sama-samalah kita mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal ibadat sebelum terlambat untuk bekalan kita di akhirat nanti. Bagi mereka yang telah meninggal dunia lebih awal daripada kita, sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarabbalalamin.

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hasyr ayat 10 yang tafsirnya:

"Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatmu."

Tiada ulasan: