26 Mei, 2012

AYAT SERIBU DINAR .... mesti berusaha dan berikhtiar



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(At-Talaq: 2 & 3)

Sejarah Ayat Seribu Dinar :

Mengapa ayat ini dinamakan sebagai ayat seribu dinar? Kisahnya, pada suatu ketika dahulu, ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi Nabi Khaidhir. Mimpinya yang pedagang ini diperintahkan oleh Nabi Khaidhir supaya bersedekah sebanyak 1000 dinar. Pedagang tersebut telah bermimpi sebanyak 3 kali dengan perkara yang sama lalu pedagang tersebut mula merasakan yang mimpi itu adalah perkara yang benar.

Kemudian, pedagang tersebut mengikut mimpi yang dilaluinya itu dengan bersedekah sebanyak 1000 dinar. Kemudian datang mimpi sekali lagi menemui Nabi Khaidhir yang mana Nabi Khaidhir mengajar pula ayat 2 hingga 3 surah At-Tolaq supaya diamalkan. Kemudian Pedagang tersebut terus mengamalkan ayat tersebut seperti mana yang diajarkan oleh Nabi Khaidhir.

Pada suatu hari pedagang tersebut pergi berdagang ke suatu tempat dengan menggunakan jalan laut dengan menaiki kapal. Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba ribut taufan yang amat dasyat datang melanda dan membadai kapal pedagang tersebut. Dalam keadaan sebegitu, pedagang tersebut hanya bertawakkal dan berserah sahaja kepada Allah s.w.t sambil terus menerus membaca surah yang seperti mana diajarkan oleh Nabi Khaidhir dalam mimpinya itu.

Dan akhirnya kapal mereka pecah dipukul ribut dan ombak besar. Kesemua penumpang dan anak kapal mati kecuali hanya pedagang tersebut sahaja yang terselamat, sehinggalah ribut sudah reda dan pedagang tersebut tersedar dan mendapati dirinya sudah berada ditepi pantai di sebuah negeri bersama barang-barangnya yang tidak sedikitpun rosak.
Sambil menadah tangan dan mengucap kesyukuran kepada Allah yang Maha Berkuasa dengan kehendak-Nya dan hikmah disebalik membaca ayat seribu dinar itu maka pedagang itu selamat. Lalu, pedagang tersebut mengambil keputusan untuk tinggal sahaja di negeri tersebut dan ayat yang diajar oleh Nabi Khaidhir itu terus diamalkan.

Selama pedagang tersebut tinggal di negeri itu, pedagang tersebut mengambil keputusan untuk berniaga dan berdagang dengan penduduk setempat. Dengan amalannya membaca ayat seribu dinar, dengan izin Allah s.w.t, pedagang tersebut telah diangkat menjadi raja dalam negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangkanya.)

Begitulah kisahnya disebalik nama ayat seribu dinar.
Oleh itu marilah kita mengamalkan maksudnya dari ayat ini dan berdoa supaya Allah mengizinkan kita dapat mengecapi kemurahan rezeki dan nikmat di dunia mahupun akhirat.

* Perlu diingatkan beramal dengan maksud ayat dan bukannya membaca ayat ini seribu kali!

Tiada ulasan: