Daripada Thumamah, daripada Anas r.a meriwayatkan, bahawa Ummu Sulaim pernah membentang sehelai tikar daripada kulit untuk Nabi SAW. Maka baginda tidur (qailulah) di atas tikar itu. Anas r.a berkata: Ketika Nabi SAW tidur, Ummu Sulaim mengambil sebahagian daripada peluh dan rambut Baginda SAW, lalu mengumpulnya di dalam sebuah botol kaca. Kemudian Ummu Sulaim mencampurkannya pula dengan minyak wangi yang lain, sedangkan Nabi SAW masih tidur. Thumamah berkata: Semasa Anas ibn Malik hampir wafat, dia mewasiatkan kepada saya supaya mencampurkan sedikit wangian tersebut dengan hanutnya (wangian untuk orang mati agar tidak cepat rosak). Dia berkata, "Maka wangian itu pun dicampurkan ke dalam hanutnya. (riwayat Bukhari dalam Bab Al-Isti'zan)
Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami, lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Bondaku datang membawa sebuah botol kaca lalu meraut peluh Rasulullah SAW masuk ke dalamnya. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, "Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?" Dia menjawab: "Peluh ini akan kami campurkan dengan minyak wangi kami, dan ia merupakan minyak wangi yang paling harum!"
Daripada riwayat-riwayat di atas dan riwayat-riwayat lain yang seumpamanya, dapat diambil kesimpulan bahawa Nabi SAW mengetahui apa yang dilakukan oleh Ummu Sulaim dan baginda SAW membenarkannya.
Tidak ada pertentangan di antara apa yang dikatakan oleh Ummu Sulaim bahawa ia mengumpulkan peluh Nabi SAW sebagai campuran minyak wanginya dengan katanya bahawa dia mengumpulkannya untuk mengambil berkat.
Bahkan, diandaikan bahawa dia melakukannya untuk kedua-dua tujuan tersebut sekaligus. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 11:2)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan