06 Disember, 2012

SINARAN MINDA PAGI .... kembara hidup manusia

Pernah atau tidak, selepas menyakiti hati orang lain dengan bahasa sindiran serta kritikan atau makian, kita merasa best, lega, happy dan PUAS! apatah lagi jika ia gagal dibalas. Jika PERNAH, itulah tanda hati kita dikuasai kekotoran dan rendah akhlak walau manusia melihat kita sebagai baik dan 'hero'. Ia adalah 'buah rosak' hasil dari amalan diri yang tidak betul atau mungkin betul tetapi tiada ikhlas. 

Pernah atau tidak, selepas melakukan yang tersebut diatas, beberapa minit atau jam selepasnya, kita merasa menyesal lalu bertindak sama ada meminda semula, memadam (jika boleh) atau meminta maaf. Jika PERNAH, itulah tanda hati kita masih ada sinar iman, ihsan dan akhlaq, benih menumbuhkan buah taqwa jika terus dijaga.

SINARAN MINDA PAGI .... bekalan saat-saat kematian

Suatu hari nanti kita akan pergi bertemu Rabb kita tanpa pakaian, tanpa harta, tanpa rumah, tanpa kenderaan, tanpa ada orang dapat memberi manfaat atau mudarat kecuali yg dikehendakiNya, tanpa bersunat, dan ketika itu semua akan berkata, diriku diriku selamatkanlah diriku kecuali Nabi s.a.w.

Apa guna mendabik dada atas dunia. Apa guna tak mahu ikut segala perintahNya. Apa guna menuruti hawa nafsu dan meninggalkan ajaranNya.

Saat hari kiamat itu tiba, maka barulah manusia ketika itu 'membuka mata' dan menyesal serta menangis kerana telah mendapat suatu kerugian yang besar.

SINARAN MINDA PAGI .... menuntut ilmu

Apabila Allah ingin memberi kebaikan kepada seseorang, Allah akan dekatkan seseorang itu dengan majlis ilmu.
Apabila kita inginkan kebaikan daripada Allah, 
maka tuntutlah ilmu.

05 Disember, 2012

HUJAN ....berdoa minta hujan

Atmosfera kita berubah-ubah, demikian juga halnya terdapat hari yang berjerebu dan hari yang cerah. Dalam suasana berjerebu, apakah yang harus dilakukan untuk mengatasinya? Secara semulajadi, zarah-zarah di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses. Zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui proses graviti. Manakala proses basuhan hujan akan melibatkan pemeluwapan wap ke atas zarah kumin bagi membentuk titis air yang akhirnya menghasilkan awan. Zarah ini disingkirkan melalui perlanggaran dan perlekatan dengan titis hujan yang disebut cucian. Proses ini berperanan membawa zarah-zarah jerebu ke paras atmosfera tinggi dan hujan lebat atau ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan. Sedangkan hujan renyai yang singkat waktunya kebiasaannya tidak mendatangkan kesan dalam menghilangkan jerebu yang teruk. Untuk itu sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran kita hendaklah berusaha dan berikhtiar sedaya upaya dan bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah fenomena alam yang dihadapi selain daripada berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah S.W.T kerana sesungguhnya segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala yang buruk itu datangnya daripada kesilapan kita sendiri.

HUJAN .... Antara Lima Kunci Rahsia

Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Nya, yang nampak mahu pun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan." 
(al-Kahfi :109)