16 Disember, 2011

SIFAT MANUSIA >>> ketika ......


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya :
Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu. 
( Riwayat Ibnu Abi Dunya )
Hasrat yang diharapkan ....

i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Sumber : http://www.islam.gov.my/e-hadith

15 Disember, 2011

KALAU LAH ..... apa akibatnya

Apa akan terjadi kalau tali pengikat sebesar-besar paip ini putus ?

Kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja membawa kerugian kepada keluarga mangsa, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada negara Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan, serta latihan pekerjaan dan akhirnya tidak dapat memberi sumbangan kepada negara akibat terlibat dalam kemalangan.

14 Disember, 2011

ADAB & BUDI >>> Bunga-bunga Kehidupan


Dari Aisyah RA, isteri nabi SAW, dari nabi SAW sabdanya : 
"Sesungguhnya ramah tamah dalam segala urusan menjadikan urusan itu cantik (berjaya). Tanpa ramah tamah nescaya setiap urusan menjadi buruk."
(HR : Muslim)

Dalam menjalankan tugas kepada orang awam, setiap pelanggan tentunya mengharapkan perkhidmatan yang diterima adalah baik dan berkualiti serta diberi dalam suasana yang menyenangkan, selesa, ramah dan mesra. Penerangan yang disampaikan adalah jelas dan bersopan bahkan seseorang yang berkhidmat itu hendaklah sentiasa bersedia membantu mengatasi masalah pelanggannya. Sebaik-baiknya kita hendaklah meletakkan diri kita seolah-olah kita adalah pelanggan. Sesungguhnya ramah-tamah dan kemesraan layanan akan membuatkan sesiapa sahaja yang berurusan merasa tenang dan selesa sekaligus menjaga imej diri dan jabatan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/e-hadith

13 Disember, 2011

PEMILIKAN DIRI >>> Kaya @ Miskin

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)."

Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.
1. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi 
     oleh Allah S.W.T. 
Pertama: Bertaqwa
Kedua : Kaya Jiwa (Berakhlak mulia)
Ketiga : Tidak menonjolkan diri

2. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat.

3. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.


Sumber : http://www.islam.gov.my/e-hadith

12 Disember, 2011

ANTARA BAIK dan JAHAT >>> Pilihan di tangan sendiri

Nabi SAW bersabda, maksudnya: 
"Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya,"
(HR : Jabir RA)
Setiap perbuatan akan dibalas setimpal dengan segala perkara yang dilakukan. Sekiranya sewaktu hidup di dunia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang dilarang, pasti ganjaran pahala sedia menanti. Sebaliknya, jika perbuatan-perbutan keji yang menjadi amalan hidupnya, catatan dosa pula sedia menanti. Ajal maut adalah ketentuan ilahi. Tidak terawal, atau terlewat, walaupun sedetik. Insya-Allah pintu taubat masih terbuka, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Sekiranya seseorang mati dalam keadaan beriman, dibangkitkan kelak dalam kedaan gembira. Sebaliknya, apabila mati dalam keadaan derhaka, pasti dibangkitkan dalam keadaan mendukacitakan. Setiap orang dibangkitkan mengikut amalan masing-masing.

Sumber : http://www.islam.gov.my/e-hadith