06 Disember, 2011

DAH MALAM NIII >>> Jom Tidur

Beberapa amalan yang PERLU dilakukan apabila mengikuti Program "JOM TIDUR"
1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur.

2. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.

3. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu, dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah? Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali Allahuakbar 33 kali.

4. Baca 4 Qul (An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafiruun) tiup ke tapak tangan dan sapu ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia. Kemudian baca Bismillahirrahmanirrahim 21 kali. Barangsiapa membaca Bismillahirrahmanirrahim sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya terpelihara dari godaan dan gangguan syaitan, dari bencana manusia dan jin, daripada kecurian dan kebakaran, dan daripada kematian terkejut.

5. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.

6. Ambil wudhu’ sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.

7. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita, dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.

8. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

Sumber : ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA

10 MUHARRAM | Hari Assyura Penuh Keberkatan

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda : 
Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan)
( HR Muslim )

1. Puasa sunat yang sangat dituntut kepada umat Islam mengerjakannya selepas daripada puasa fardhu (Ramadhan) ialah puasa pada bulan Muharram, sama ada di awal, di tengah atau di akhir bulan.

2. Islam menganjurkan kepada semua umatnya agar memperbanyakkan ibadat sunat termasuk solat sunat di mana sembahyang sunat yang paling mulia dan banyak kelebihannya di sisi Allah ialah sembahyang sunat di waktu malam, lebih-lebih lagi di waktu malam di bulan Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat daripada Allah.

05 Disember, 2011

PUASA ASSYURA >>> Kejar Fadhilatnya

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Hal ini termasuklah peluang-peluang melakukan amal ibadat yang diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding dengan amalan-amalan yang dilakukan pada waktu-waktu biasa. Contohnya Allah memuliakan bulan Muharram dan menggalakkan kita berpuasa sunat. Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui akan kelebihan yang ada padanya tetapi hakikatnya itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim itu dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang terbaik iaitu ia tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu yang dikurniakan padanya kerana apabila seseorang itu sudah ditimpa sakit ataupun sibuk barulah mereka terasa akan kekurangan diri dalam mempersiapkan bekalan di hari akhirat kelak. Oleh itu marilah kita bersama-sama menyahut seruan Rasulullah ini mudah-mudahan ketaqwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

IMAN + JIHAD = Hijrah Terlaksana

HARI ini ialah hari ke-9 Muharram, hari umat Islam menyambut kedatangan tahun Islam yang baru iaitu 1433 Hijrah. Di seluruh dunia, kedatangan tahun baru Islam bukan sekadar mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, sebaliknya membawa maksud bahawa manusia kini berada di tahun baru.

Kedatangan tahun hijrah baru juga bermakna usia bumi semakin tua dan tanpa disedari, ia peringatan berhubung janji Allah mengenai kedatangan hari kiamat.

Walaupun tiada makhluk tahu mengenai kedatangan hari kiamat, hijrah dengan kata lain, satu titik masa bagi kita merenung kembali setiap perkara dilakukan sepanjang tahun lalu.

Jika hijrah Rasulullah SAW dulu bagi membawa perubahan kepada umat Islam dalam kehidupan bertamadun, tetapi ia bukan bermakna sambutan tahun baru hijrah sekadar mengingati peristiwa penuh keagungan itu.
 Berdasarkan hadis, hijrah bukan bermakna hanya dilakukan sewaktu tiba sambutan tahun baru Hijrah, sebaliknya tanpa mengira masa, waktu dan selagi hayat dikandung badan.

Namun, sambutan tahun baru Maal Hijrah boleh dijadikan titik tolak atau sebagai satu titik masa untuk kita mengenang sejarah perjuangan baginda SAW.

04 Disember, 2011

KESALAHAN ANAK >>> Berpada-pada beri hukuman

MEMANG sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan hiperaktif ada kala amat menggusarkan ibu bapa. Maka timbul rasa kurang senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum.
Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam permasalahan menghukum anak.

Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata:
Seboleh-bolehnya gunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan ahli keluarga khususnya anak. Namun, Rasulullah SAW tidak melarang menggunakan kaedah hukuman. Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.

Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari perspektif psikologi dan fisiologi. Ditinjau dari aspek psikologi, pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam memberi teguran.

Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan terguris. Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.

Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari dari rumah. Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini. Salah satu penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa anak berasa tertekan.

Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.