05 Disember, 2011

PUASA ASSYURA >>> Kejar Fadhilatnya

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Hal ini termasuklah peluang-peluang melakukan amal ibadat yang diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding dengan amalan-amalan yang dilakukan pada waktu-waktu biasa. Contohnya Allah memuliakan bulan Muharram dan menggalakkan kita berpuasa sunat. Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui akan kelebihan yang ada padanya tetapi hakikatnya itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim itu dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang terbaik iaitu ia tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu yang dikurniakan padanya kerana apabila seseorang itu sudah ditimpa sakit ataupun sibuk barulah mereka terasa akan kekurangan diri dalam mempersiapkan bekalan di hari akhirat kelak. Oleh itu marilah kita bersama-sama menyahut seruan Rasulullah ini mudah-mudahan ketaqwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

IMAN + JIHAD = Hijrah Terlaksana

HARI ini ialah hari ke-9 Muharram, hari umat Islam menyambut kedatangan tahun Islam yang baru iaitu 1433 Hijrah. Di seluruh dunia, kedatangan tahun baru Islam bukan sekadar mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, sebaliknya membawa maksud bahawa manusia kini berada di tahun baru.

Kedatangan tahun hijrah baru juga bermakna usia bumi semakin tua dan tanpa disedari, ia peringatan berhubung janji Allah mengenai kedatangan hari kiamat.

Walaupun tiada makhluk tahu mengenai kedatangan hari kiamat, hijrah dengan kata lain, satu titik masa bagi kita merenung kembali setiap perkara dilakukan sepanjang tahun lalu.

Jika hijrah Rasulullah SAW dulu bagi membawa perubahan kepada umat Islam dalam kehidupan bertamadun, tetapi ia bukan bermakna sambutan tahun baru hijrah sekadar mengingati peristiwa penuh keagungan itu.
 Berdasarkan hadis, hijrah bukan bermakna hanya dilakukan sewaktu tiba sambutan tahun baru Hijrah, sebaliknya tanpa mengira masa, waktu dan selagi hayat dikandung badan.

Namun, sambutan tahun baru Maal Hijrah boleh dijadikan titik tolak atau sebagai satu titik masa untuk kita mengenang sejarah perjuangan baginda SAW.

04 Disember, 2011

KESALAHAN ANAK >>> Berpada-pada beri hukuman

MEMANG sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan hiperaktif ada kala amat menggusarkan ibu bapa. Maka timbul rasa kurang senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum.
Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam permasalahan menghukum anak.

Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata:
Seboleh-bolehnya gunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan ahli keluarga khususnya anak. Namun, Rasulullah SAW tidak melarang menggunakan kaedah hukuman. Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.

Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari perspektif psikologi dan fisiologi. Ditinjau dari aspek psikologi, pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam memberi teguran.

Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan terguris. Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.

Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari dari rumah. Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini. Salah satu penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa anak berasa tertekan.

Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.


03 Disember, 2011

HIJRAH >>> Satu Pengorbanan


PERISTIWA hijrah Rasulullah s.a.w perlu dijadikan ukuran buat diri individu Muslim kerana ia mempamerkan kesungguhan serta pengorbanan umat Islam di Makkah ketika itu yang sanggup berkorban nyawa, harta benda demi mencari keredaan Allah s.w.t.

Walaupun sejarahnya lebih 1,000 tahun, ia tetap dikenang sebagai lambang kejayaan umat Islam. Cukupkah kita hanya berbangga menggunakan nama Islam, dilahirkan dalam keluarga Islam namun hakikatnya tidak menjiwai watak sebagai seorang Islam tulen.

Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah. Tafsiran kepada sifat terpuji dan terkeji tidak hanya berkaitan mengenai perkara ibadat tetapi menilai sikap lain terutamanya hubungan sesama manusia dan masyarakat, gerak kerja seharian, budaya serta tingkah laku.

Hijrah merupakan satu titik perubahan baru dalam dakwah Islamiyah dan mengajar banyak perkara kepada umat Islam dan juga kepada peribadi rasulullah salallahualaihiwassalam. Kali ini tugas nubuwwah tidak lagi hanya berlangsung dan berselindung di rumah Al-Arqam bin Abil Arqam tetapi di kota-kota dan akan didengari ke seluruh pelusuk dunia.

Kota Madinah dipilih untuk mendapatkan kehormatan dan menjadi pusat penyebaran dakwah Islam tersebut.
Pengajaran pertama daripada Hijrah ialah Dakwah Islam itu harus berjalan menuju ke puncak dan ditinggikan oleh pengorbanan-pengorbanan manusia yang beriman kepada Allah swt sehingga suara agama dan seruan Allah untuk seluruh manusia beriman dan bertauhid kepada-Nya didengari oleh seluruh isi alam.

Hijrah mengajar nabi bahawa Allah telah memprogamkan Islam untuk tidak membuang masa melayani kerenah kufar dan menanti sesuatu yang tidak pasti kerana “Masa” bagi seseorang manusia itu amatlah penting dan ianya perlu dilaburkan sepenuhnya ke jalan Allah swt dan melakukan apa yang lebih menguntungkan agama dan membawa kepada bekalan akhirat dari menanti sesuatu yang tidak pasti seperti menanti orang-orang yang kafir itu menjadi beriman.

02 Disember, 2011

IBU oh!!! IBU <> Ku dengari nasihat mu

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : 
" Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa."
(HR al-Hakim)

<<>> Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.


<<>> Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

<<>> Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

<<>> Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

<<>> Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.