28 November, 2011

SATU HATI >>> Mampukah kita melakukannya?

Oleh HASSAN AHMAD
Ada orang yang mengatakan bahawa matlamat gagasan Satu Malaysia ialah membina “negara satu bangsa Malaysia”. Setahu saya, matlamat itu tidak pernah disebut secara rasmi oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang mencetuskan gagasan Satu Malaysia.

Sering kali juga kita mendengar orang menggunakan istilah lain, iaitu “negara-bangsa Malaysia” untuk merujuk konsep yang sama, iaitu negara “satu bangsa Malaysia”.

Konsep negara-bangsa (nation-state) wujud daripada sejarah politik nasionalisme Barat sejak akhir abad ke-18. Konsep ini merujuk kesatuan sosiopolitik-legalistik yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja. Yang dimaksudkan dengan “bangsa” ialah bangsa kulit putih Eropah atau bangsa Caucasus.

Konsep ini tidak sama maksudnya dengan ras atau suku kaum dari segi takrif sosiobudaya atau takrif antropologi. Sesuatu “bangsa” itu belum dapat dianggap sebagai nation jikalau bangsa itu belum mempunyai “negeri” atau negara.
____________________________
Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan. Beliau juga bekas wakil tetap Malaysia ke UNESCO dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kolum ini diambil daripada Dewan Masyarakat Disember 2010. Kandungan kolum telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

FIKIR-FIKIRLAH >>> sebelum berkata-kata

Jauhi Perdebatan Walaupun Dipihak Yang Benar, 
Tinggalkan Dusta Walaupun Bergurau, 
Dan Perindahkan Akhlak, Ganjarannya Syurga. 
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud :
Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya. Para sahabat bertanya lagi, wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah ialah orang yang takbur.
<< HR at-Tirmidzi>>


<> Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
<> Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
<> Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

27 November, 2011

BERSIN >>> Ada Adab-adab Yang Perlu Diikuti


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 
“Sesungguhnya Allah SWT sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah SWT, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan “Yarhamukallah”. Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Tasymid dan Tahmid Dari Anas bin Malik r.a. katanya : 
“Dua orang laki-laki bersin dekat Nabi SAW. Lalu yang satu ditasymitkan oleh baginda sedangkan yang satu lagi tidak. Maka bertanya orang yang tidak ditasymitkan, tetapi aku bersin tidak kamu tasymitkan. Mengapa begitu, ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Yang ini sesudah bersin dia memuji Allah sedangkan kamu tidak.” 
(Sahih Muslim)

UCAPAN YANG DIPINTA >>> kesejahteraan dipohon

Bila hamba Allah mengucapkan Laillahaillallah maka keluarlah dari mulutnya yang mengucapkan perkataan yang mulia itu seekor burung hijau. Maka burung hijau akan naik ke Arasy Allah dan berkicauanlah burung-burung tadi dibawah Arasy. Melihat kejadian itu malaikat yang menjaga Arasy Allah memerintahkan kepada burung-burung tadi supaya diam tetapi tidak dipatuhi oleh mereka. Oleh kerana arahan yang diberi tidak dipatuhi, malaikat yang menjaga Arasy mengadap Allah SWT menceritakan kejadian itu.

Maka Allah memerintahkan malaikat tersebut supaya memberitahu burung-burung supaya diam. Apabila perintah itu diberitahu kepada mereka. Maka berkatalah burung-burung itu... "wahai malaikat yang menjaga Arasy Allah, kami boleh mendiamkan diri kami tetapi dengan satu permintaan". bertanya malaikat "Apakah permintaan itu?". Berkata burung-burung itu" Jika Allah ampunkan dosa-dosa orang yang mengucapkan kalimah Lailahaillallah sehingga terciptanya aku, barulah aku akan tidak membuat bising disini". Berkata malaikat itu" baiklah aku akan sampaikan kepada Allah". Beredarlah malaikat dan menyembah Allah dan disampaikan permintaan tadi kepada Allah. Maka Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang menerima permintaan tersebut.

Malaikat pun pergi berjumpa dengan burung-burung itu dan mengatakan bahawa Allah telah menerima permintaan mereka. Maka dengan segera mereka tidak membuat bising dan mereka bergantungan di Arasy Allah sambil berzikir dan memohon keampunan untuk orang yang mengucap Lailahaillallah tadi sehingga hari kiamat. Oleh itu kita manusia sepatutnya tidak terlepaskan peluang yang diberi oleh Allah itu dengan hanya mengucap kalimat yang disukai oleh Allah maka balasannya berterusan hingga hari kiamat. Maha Suci Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

26 November, 2011

PELUANG KEEMASAN >>> Merebut Kelebihan Bulan Muharam

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.

Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)