26 Mei, 2012

BERTUDUNG .... berfesyen @ menutup aurat

Perkembangan Islam mutakhir ini menyaksikan ramai wanita Muslim memakai tudung. Ini amat menggembirakan kerana mereka sedar bahawa Allah mewajibkan ke atas wanita Muslim untuk menutup aurat dan ia adalah suatu fardu bagi mereka yang sudah baligh.

Tidak salah bagi setiap wanita untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa selagi panduan syarak diutamakan dalam semua keadaan dan mampu mengawal diri supaya tidak melanggar batasan yang di gariskan dalam Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.

Islam juga tidak pernah melarang umatnya untuk berfesyen dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan setiap wanita yang bertudung menutup aurat keseluruhannya bukan sekadar melepaskan batuk ditangga.

Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, Ayat 31).

Tiada ulasan: