02 Julai, 2012

INGAT BERINGAT ... hormatilah orang lain sebaiknya



Kerjasama adalah kunci kejayaan dalam segala aspek kehidupan. Ia boleh mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan stabil kerana daripada kerjasama akan menerbitkan kemesraan berkomunikasi, kasih sayang serta saling bersimpati di antara satu sama lain. Bak kata pepatah "cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit".

Ini kerana makhluk Allah adalah saling perlu memerlukan di antara satu sama lain di mana manusia tidak mungkin hidup tanpa alam persekitarannya dan alam persekitaran pula tidak akan membangun tanpa ada manusia yang mengusahakannya. 

Kejayaan Rasulullah s.a.w. melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana bekerjasama dalam masyarakat masa kini. Ia berpunca daripada sikap dan suasana positif yang dibentuk oleh Rasulullah menerusi pendidikan dan program motivasi yang berjalan secara berterusan sehingga wujudnya individu yang berperibadi mulia dan kukuh sehingga naluri kerjasama dan saling memerlukan itu berkembang subur menjadi satu tenaga yang mampu menggerakkan masyarakat Islam membawa perubahan besar kepada tamadun dunia. 

INGAT BERINGAT ... sahabat dan teman

Daripada Anas RA, daripada Nabi SAW sabdanya, 
"Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."
( HR : Muttafaqun ‘Alaih )

Untuk mencapai darjat iman yang sempurna seorang muslim mestilah memiliki perasaan senang hati dan inginkan saudaranya (muslim yang lain) memperoleh kebaikan dan mengerjakan taat seperti yang dia inginkan untuk dirinya disamping itu dia mestilah berusaha ke arah itu. Antara bentuk usaha itu ialah memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka untuk menghasilkan apa yang memberi manfaat sama ada manfaat dunia atau akhirat.

Jika umat islam berpegang dengan petunjuk hadis ini dan merealisasikannya dalam kehidupan, tentulah keadaan mereka berubah daripada lemah kepada kuat, daripada hina kepada mulia dan seterusnya, dan tentulah tidak terdapat perpecahan, pergaduhan, rebutan sehingga menyebabkan mereka berlindung kepada musuh untuk mencari penyelesaian yang akhirnya musuh mengambil kesempatan untuk melemahkan mereka.

Janganlah menyimpan rasa permusuhan terhadap saudaramu sesama mukmin kerana ini boleh meyebabkan diri kamu terdedah kepada seksaan Allah.

INGAT BERINGAT .... indahnya puasa

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: 
"Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya."
( HR : Bukhari & Muslim )

Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan.

Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.