28 Ogos, 2012

AIDILFITRI ..... Lawak Siang Malam

PILIH mana satu kuih yang paling enak dan siksa untuk di makan.

AIDILFITRI .... Mengekalkan Adab Yang Mulia

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah S.W.T sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah S.W.T, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan (Yarhamukallah). Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya."
(HR : al-Bukhari)
1. Islam selaku agama yang mulia amat menekankan kesopanan dan kesantunan dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya sama ada dalam pergaulan, percakapan ataupun tingkahlaku refleks seperti menguap, bersin dan sebagainya.
2. Ketika menguap terdapat adabnya yang tersendiri iaitu hendaklah meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak elok ketika mulut terbuka dan juga untuk menghalang sesuatu daripada masuk ke dalam mulut. Selain itu kita disuruh mengurangkan bunyi ketika menguap, seboleh-bolehnya tidak kedengaran langsung.
3. Manakala apabila bersin pula kita hendaklah memalingkan muka ke arah lain sambil menutup mulut dan hidung untuk mengurangkan bunyi bersin tersebut selain untuk mengelak daripada terkena jangkitan pada orang lain. Selepas bersin hendaklah mengucapkan alhamdulillah dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan yarhamukallah sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan Yahdiinaa wayahdiikumullah.
4. Bersin yang terlalu kerap melebihi 3 kali menandakan seseorang itu kemungkinan diserang selsema manakala menguap yang terlampau kerap menandakan seseorang itu tidak cukup tidur selain menunjukkan ciri-ciri kemalasan yang patut dihindari dengan melakukan aktiviti senam ringan dan sebagainya.

AIDILFITRI .... sama-sama kita ke masjid


Daripada Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW bersabda : 
“Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.”
( HR : Bukhari dan Muslim )

Solat di pasar adalah harus dan sah tetapi makruh kerana gangguan suara dan sebagainya yang menghilangkan khusyuk`.
Malaikat berdoa untuk orang yang beriman seperti firman Allah dalam surah Ghafir, ayat 7.
Orang lelaki dikehendaki mendirikan solat jemaah di masjid atau surau.
Solat jemaah diberi ganjaran pahala 25 kali ganda atau lebih daripada solat bersendirian.

AIDILFITRI .... jangan lepaskan peluang keemasan

Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.