31 Mei, 2012

BACALAH .... Ayat yang pertama


Disebutkan dalam Mukhtasar Al-Itqan Fi Ulum Al-Qur’an, para ulama telah berselisih pendapat tentang apa yang pertama sekali diturunkan daripada Al-Qur’an kepada 4 pendapat.

Pendapat pertama menyatakan bahawa yang pertama sekali turun daripada Al-Qur’an adalah Surah Al-`Alaq; ayat 1-5. Ini adalah berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin `Aisyah r.anha.

Pendapat kedua menyatakan yang pertama sekali diturunkan adalah surah Al-Mudatstsir.

Pendapat ketiga, menyatakan yang pertama sekali diturunkan adalah surah Al-Fatihah.

Pendapat keempat menyatakan yang pertama sekali diturunkan adalah Bismillahirrahmanirrahim.

Dan pendapat yang paling shahih adalah pendapat yang pertama, bahawa yang pertama sekali diturunkan daripada Al-Qur’an adalah surah Al-`Alaq; ayat 1-5. Sebagaimana yang telah masyhur, bahawa ianya berlaku ketika Rasulullah s.a.w sedang berada di Gua Hira’ yang terletak di bukit Cahaya (Jabbal Nur), saat baginda s.a.w mengasingkan diri daripada kaumnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t. 

`Ali bin Al-Hussain menyatakan bahawa surah pertama yang diturunkan di Mekah adalah Al-`Alaq dan surah yang terakhir di Mekah adalah surah Al-Mu’minun, dan disebutkan juga Al-Ankabut. Manakala, surah yang pertama sekali diturunkan di Madinah adalah Al-Muthaffifin, dan yang terakhir diturunkan di Madinah adalah surah At-Taubah. 

Ibnu Hajar Al-`Asqalani menyebutkan dalam Fathul Bari, bahawa telah disepakati yang pertama sekali turun di Madinah adalah surah Al-Baqarah.


Rujuk: صلاح الدين ارقدان , Mukhtashar Al-Itqan Fi Ulum Al-Qur’an, terbitan: Dar An-Nafa’is (1987 Masihi) hal. 57-60.

Tiada ulasan: