31 Mei, 2012

MUNAFIK .... jauhi sejauh-jauhnya


1. Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Tanda seorang munafik ada tiga : apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir, dan apabila diberi amanah dia berkhianat.” (Hadis riwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

2. Di dalam hadis di atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah mengkhabarkan tentang 3 ciri yang terdapat pada orang munafik. Orang munafik adalah orang yang berpura-pura menzahirkan keislaman, sedangkan di dalam hatinya dia membenci Islam, malah berniat untuk menghancurkan Islam. Orang munafik adalah orang yang menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran.

3. Meskipun hadis di atas disebutkan tentang ciri-ciri orang munafik, sesuatu yang perlu kita fahami adalah; hadis di atas tidaklah bertujuan ataupun menganjurkan untuk kita melabel dan menuduh orang yang tertentu sebagi munafik. Akan tetapi, hadis di atas memberikan peringatan kepada kita agar menjauhi sifat-sifat orang munafik.

4. Sesungguhnya perbuatan menuduh orang lain sebagai munafik tanpa bukti dan hujah, adalah satu perbuatan buruk sangka. 

5. Seperti mana syirik dibahagikan kepada syirik besar dan syirik kecil, munafiq juga mempunyai pembahagiannya.

- Munafiq hakikat; iaitu orang yang menzahirkan keimanan, berpura-pura Islam, tetapi hakikat di dalam hatinya adalah kufur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Mereka ini hakikatnya telah murtad daripada Islam, kerana tidak beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

- Munafiq amal; iaitu orang yang benar-benar beragama Islam dan hatinya beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, meskipun begitu perbuatannya terdapat sifat-sifat orang munafik seperti berdusta, khianat dan mungkir janji. Mereka ini tetap Islam, dan termasuk di kalangan orang yang beriman.

6. Selain hadis di atas terdapat pelbagai lagi sifat orang munafik yang perlu dijauhi disebutkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah, namun cukuplah kami bawakan secara ringkas di sini mengenai sifat munafik yang perlu dijauhi.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: