07 November, 2011

IBADAH HAJI <> Mabit di Muzdalifah

Berada di bumi Muzdalifah selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga seketika sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh) hari tersebut. Sebaik-baiknya berada sepanjang malam dalam tempoh tersebut. Namun memadai walau berada seketika sahaja. Sah mabit bagi jemaah haji yang dibawa dengan bas melintasi Muzdalifah dalam waktu tersebut walaupun tidak menjejakkan kaki di Muzdalifah ataupun tertidur ketika bas melintasinya.

AMALAN SUNAT KETIKA MABIT DI MUZDALIFAH

1. Apabila terbenam matahari 9 Zulhijjah (masuk waktu Maghrib), jemaah haji bolehlah meninggalkan Arafah tanpa menunaikan solat Maghrib di samping memperbanyakkan zikir dan talbiah.

2. Bergerak ke arah Muzdalifah dalam keadaan tenang sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Elakkan daripada berasak-asak dengan orang ramai dan jangan menyakiti mereka.

3. Apabila tiba di Muzdalifah, hendaklah segera menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Ia boleh dilakukan secara jamak ta’khir dengan sekali azan dan dua iqamah. Tidak disunatkan menunaikan sebarang solat sunat.

4. Mengutip tujuh (7) biji anak batu untuk melontar di Jamrah Kubra pada keesokan harinya (10 Zulhijjah).

5. Sunat mabit di Muzdalifah sehingga terbit fajar (masuk waktu Subuh). Kemudian menunaikan solat Subuh pada awal waktunya.

6. Terus berada di Muzdalifah sehingga langit semakin cerah. Dalam masa yang sama, seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh berzikir dan berdoa kepada Allah swt. Setelah itu hendaklah ia terus bertolak ke Mina.

7. Menurut sunnah, jemaah haji hendaklah sentiasa bertalbiah sepanjang perjalanannya ke Mina dan berhenti bertalbiah apabila mula melontar di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah.

8. Bagi jemaah haji yang terus menuju ke Makkah, hendaklah berhenti dari bertalbiah apabila memulakan tawaf.

Tiada ulasan: