19 Mei, 2013

HARI NAKBAH .... nasibmu Palestin

Apakah itu Hari Nakbah? 

15 Mei 2013 ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 65. Peristiwa Nakbah secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengisytiharan Negara haram Israel pada 15 Mei dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan).

Hakikatnya ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir penduduk Arab dari tanah air mereka. Akibat dari keganasan oleh beberapa kumpulan bersenjata Yahudi Zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini setelah 65 tahun peristiwa ini berlaku, dianggarkan 6 juta pelarian yang sebahagian besarnya merupakan generasi kedua dan ketiga yang tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air mereka. Ini bererti mereka telah menunggu selama 65 tahun untuk pulang ke Palestin. Jika Nelson Mandela diraikan sebagai pahlawan kemanusiaan terulung kerana sanggup dipenjarakan selama 30 tahun demi membebaskan bangsa kulit hitam Afrika Selatan dari sistem Apartheid, maka rakyat Palestin yang menghuni kem-kem pelarian sejak 65 tahun lalu lebih wajar dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Tiada ulasan: