21 Oktober, 2012

BERSYUKUR ..... ingat nikmat yang diperoleh

          Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang.
          Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.
          Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.
          Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah kerana tujuan seseorang itu diambil berkhidmat adalah untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya ia dapat memberikan khidmat yang memuaskan kepada orang ramai dan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.

Tiada ulasan: